KEBURUKAN FACEBOOK - GEJALA SOSIAL - PELAJAR CENDERUNG JADI PEMARAH
KEBURUKAN FACEBOOK: 60,000 pelajar kita ketagih FaceBook
Remaja habiskan masa 4 jam sehari layari internet, kerap menipu,
antisosial
KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun
di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari
melayari internet terutama laman sosial Facebook (FB). Ketagihan
terhadap internet terutama FB itu menyebabkan pelajar terbabit kerap
menipu, mencuri, antisosial dan berubah menjadi seorang yang pemarah
sekiranya keinginan mereka tidak dapat dipenuhi. Selain itu, golongan
itu dikatakan mudah menghidapi penyakit seperti pening, masalah
penglihatan dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa
tidur dan rehat yang mencukupi.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che
Din, berkata ketagihan remaja melayari laman web itu semakin serius
sehingga sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan
kemudahan online.
“Remaja yang ketagih internet itu sanggup ponteng sekolah sekiranya di
rumah mereka tiada komputer. Jika duit poket tidak cukup, mereka sanggup
mencuri, asalkan dapat mengunjungi siber kafe,” katanya ketika
dihubungi Berita Harian, semalam.
Mohd Fadzil berkata, melayari internet kini menjadi sebahagian kehidupan
harian mereka dan sering berasakan seolah-olah hidup sunyi jika tidak
berinteraksi dengan rakan FB.
“Mereka berasa lebih selesa dan selamat untuk berkomunikasi melalui
internet sekali gus membantutkan perkembangan interaksi terus sesama
manusia,” katanya.
Beliau turut tidak menafikan golongan ketagih laman web itu seperti
ketagihan dadah yang sukar untuk diubati kerana ia satu cara membantunya
bersosial.
Katanya, terdapat juga kes sesetengah golongan muda yang lebih rela
berhenti kerja daripada mengurangkan masa mereka dengan melayari laman
sosial itu sekiranya diberi pilihan.
“Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan
pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan
jenayah serta antisosial,” katanya.
Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Universiti Putra
Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Zain, berkata ketagihan melayari laman
sosial boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental yang melampau.
Beliau berkata, ia turut mengganggu jam biologi pelajar sehingga
menyebabkan hormon terganggu, sistem ketahanan badan kurang selain
memberi kesan kepada mental.
“Apabila masa yang sepatutnya untuk rehat digunakan melayari internet,
ia menyebabkan pelajar itu letih fizikal dan mental sekali gus tumpuan
belajar berkurangan,” katanya.
Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor,
berkata tumpuan terlalu lama terhadap internet akan menyebabkan pelajar
lebih suka menyendiri.
Beliau berkata, mereka juga bersifat individualistik selain mudah
terdorong untuk melayari laman lucah kerana bahan itu mudah didapati dan
boleh dimuat turun dengan hanya menggunakan telefon bimbit.